Wednesday, March 26, 2008

AMAL ADAT RESAM CINA-MELAYU

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_05.htm

MELAKA 26 Mac 2008 – Masyarakat peranakan Baba Nyonya merupakan salah satu kumpulan minoriti yang mempunyai keunikan tersendiri yang tinggal di negeri ini.

Masyarakat yang juga salah satu kaum Cina ini mengamalkan adat resam dan budaya campuran Cina-Melayu.

Mereka fasih berbahasa Melayu, berpakaian kebaya, kain sarung, boleh berdondang sayang dan berseloka dengan sempurna.

Kaum minoriti Baba Nyonya banyak berpusat di sekitar Taman Kota Laksamana, Taman Melaka Raya dan menguasai bangunan-bangunan bersejarah di Hearin Street dan Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini.

Mengikut sejarah, masyarakat ini kebanyakannya berasal dari wilayah Hokkien, China dan mereka berhijrah ke Melaka 600 tahun dahulu ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu yang terkenal sebagai pusat pertemuan pedagang Timur dan Barat.

Mereka datang ke negeri ini untuk berdagang dan mencari pekerjaan tetapi pada masa sama berkahwin dengan wanita Melayu tempatan di mana anak lelaki yang dilahirkan dipanggil Baba manakala anak perempuan disebut Nyonya.

Kaum Baba Nyonya ini juga amat popular dengan pelbagai masakan asam pedas dan kuih tradisional yang begitu sedap dan menarik di mana resipinya ada persamaan dengan masakan masyarakat Melayu seperti onde-onde, kuih apom balik, kuih koci, cendol dan tapai pulut.

Walaupun menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Hokkien sebagai bahasa percakapan harian, mereka tetap berpegang kepada agama asal mereka iaitu Buddha di samping ada yang sudah memeluk Islam atau Kristian.

Antara dialog popular di kalangan Baba Nyonya ialah misalnya, masyarakat Melayu kata katil tetapi mengikut kata Baba Nyonya, katil dirujuk sebagai ranjang.

Pertuturan mereka juga bercampur bahasa Hokkien Melayu seperti ‘mana lu mau pergi, ini gua punya, mak mana, hai yaa hujan lebat, tak pi tutup jendela’.

Kaum Nyonya gemar berpakaian kebaya dan kain sarung yang merupakan pakaian tradisional nenek moyang mereka yang dikenali sebagai kebaya nyonya.

Di kalangan kaum Nyonya terdahulu juga gemar makan sirih dan sentil tembakau yang diselitkan pada mulut seperti yang diamalkan oleh wanita Melayu satu ketika dulu.

Begitu juga dengan majlis perkahwinan, ia campuran budaya Melayu dan Cina di mana di kalangan generasi lama, mereka meletakkan tepak sirih di atas katil pengantin dan apabila malam, jika pengantin perempuan tiada lagi dara maka tepak sirih tersebut akan diterbalikkan.

Seperti masyarakat Melayu lama, kaum peranakan khususnya generasi lama percaya kepada perubatan tradisional khususnya dukun dan pawang yang dipercayai mampu mengubatkan penyakit misteri atau menghalau hantu.

Dalam usaha mengekalkan adat budaya dan tradisi lama kaum peranakan, sebuah rumah lama milik kaum Baba Nyonya dijadikan muzium di Jalan Tun Tan Cheng Lock, Banda Hilir dan digelar sebagai Muzium Warisan Baba Nyonya.

Muzium itu yang ditubuhkan pada 1984 mempamerkan barangan pakaian Baba Nyonya, majlis perkahwinan, peralatan dapur dan barangan antik yang menggambarkan kehidupan harian masyarakat tersebut.

Para pengunjung yang melawat muzium itu akan disambut oleh kakitangan wanita yang berpakaian kebaya dan kain sarung dan disajikan dengan pameran perabot seperti kerusi, meja, almari malah reka bentuk rumah mengikut tukangan dari China.

Labels

About Me

My photo
Kuching, Sarawak, Malaysia