Thursday, March 27, 2008

GENERASI MUDA PERTAHANKAN WARISAN

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_02.htm


MELAKA 26 Mac 2008 – Biarpun golongan muda di kalangan masyarakat Baba Nyonya dianggap sebagai sudah lupa diri dan tidak kenal asal usul, namun ada segelintir di kalangan mereka masih tetap mahu mempertahankan warisan tradisi nenek moyang kaum itu.

Bagi Danial Ang, 38, dia tidak janggal atau berkecil hati apabila dikategorikan sebagai kaum Cina tetapi bukan Cina oleh rakan-rakan seusianya.

Malah, katanya, dia bangga dilahirkan sebagai generasi baru yang mewarisi tradisi Baba Nyonya yang disifatkannya sangat unik dan menarik.

‘‘Anda tahu, datuk saya dari generasi Baba Nyonya (lebih 50 tahun lalu) dikenali sebagai Lee Chee Lin yang boleh berpuisi dan berpantun seloka hanya berpandukan kepada alam sekeliling, anda boleh beri dia pembuka pantun apa sahaja dan dia boleh menjawabnya secara serta-merta.

‘‘Tapi saya mesti akui, biarpun saya kini sebagai generasi ketujuhnya, tidak mampu berbuat demikian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Apabila ditanya di mana silapnya sehingga dia ketinggalan menguasai ilmu tersebut, katanya, hidup yang semakin moden menyebabkan dia terlupa untuk menyambung warisan bernilai datuknya itu.

Sambil menunjukkan hasil nukilan datuknya yang dibukukan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai bahan rujukan, jelas kelihatan pada wajah Ang perasaan yang berbaur antara kecewa, gembira dan bangga.

‘‘Saya bangga kerana datuk mempunyai ketinggian ilmu berpantun sehingga hasil kerjanya yang hampir sedekad ini dijadikan bahan kajian rujukan pakar akademik dan pelajar universiti. Saya rasa tidak ada orang Melayu yang dapat menandingi kepakaran beliau (datuk),” katanya.

Ang yang bertugas sebagai pengurus di sebuah bank kewangan di Bandar Hilir di sini, berkata, kesan budaya dan pengaruh Barat khususnya dalam bidang muzik telah membuatkan golongan muda kaum itu menyisihkan budaya tradisi Baba Nyonya yang dianggap sebagai kolot serta ketinggalan zaman.

‘‘Anda boleh lihat sendiri berapa kerat sahaja orang muda yang datang untuk memeriahkan program komuniti Baba Nyonya yang diadakan pada setiap minggu di rumah persatuan di Kota Laksamana.

‘‘Jika ada pun, cuma saya dan beberapa rakan yang sebaya, boleh dikira dengan jari jumlah yang datang, bilangannya tidak akan mencecah lima orang pun,” katanya.

Namun kata Ang, dia tidak akan berputus asa dan bertekad memastikan anak -anaknya mewarisi tradisi Baba Nyonya biarpun masih terdapat di kalangan masyarakat melihat kaum peranakan Baba Nyonya sebagai golongan yang pelik.

‘‘Setiap minggu, saya tidak akan lupa menemani bapa untuk bermesyuarat dan membantu menggerakkan program dan kegiatan masyarakat Baba Nyonya. Tumpuannya ialah untuk menarik minat generasi muda peranakan menyertai aktiviti ini bagi memastikan mereka dapat menyambung warisan tradisi mereka sampai bila-bila,” katanya.

Bagi Thomas Tan, 43, pegangan tradisi lama kaum itu dianggap ketinggalan zaman dan tidak sesuai dengan keperluan generasi muda kaum peranakan zaman ini.

Katanya, kaum Nyonya, misalnya, tidak lagi mengenakan kain sarung yang diikat halus pada pinggang seperti yang dipraktikkan generasi terdahulu sebaliknya Nyonya moden hari ini gemar mengenakan kain sarung yang diubah suai menjadi moden.

‘‘Generasi hari ini tidak dapat menerima tradisi lama tinggalan nenek moyang mereka. Senario ini berlaku kepada semua kaum,” katanya.

Dalam pada itu Robert Lee, 65, adalah generasi ketujuh Baba dan Nyonya di Melaka yang masih menyimpan koleksi pantun ciptaan nenek moyangnya.

‘‘Pantun ini amat menarik kerana ia dikarang dalam bahasa Melayu lama,’’ katanya.

Labels

About Me

My photo
Kuching, Sarawak, Malaysia