Saturday, February 23, 2008

GELOMBANG MANDAT: APA KEJUTAN BARU MENJELANG HARI PENAMAAN CALON

Oleh G. MANIMARAN

23-02-2008 04:39:38 PM


Pengumuman Barisan Nasional (BN) Johor dan Perlis pagi ini mengakhiri penantian cemas siapa yang bakal digugurkan dan dikekalkan di kedua-dua negeri tersebut dalam pilihan raya umum kali ini.

Pastinya, pucuk kepimpinan negeri itu perlu membuat pengumuman hari ini – tiada pilihan – memandangkan penamaan calon diadakan esok bagi melengkapkan proses pilihan raya umum ke-12.

Dan, ia telah diumumkan pagi ini, sekali gus meredakan kontroversi dalaman yang mendominasi politik UMNO, khususnya di Perlis.

Malah pengumuman itu juga menandakan kebanyakan calon yang bakal bertanding kali ini termasuk parti-parti pembangkang sudah pun diketahui.

Dua menteri Kabinet Persekutuan, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan Datuk Seri Azmi Khalid dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi masing-masing di Perlis meskipun dikatakan sesuatu di luar dugaan akan berlaku di Perlis ekoran perselisihan antara mereka dengan Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim yang turut kekal di kawasan lamanya.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom manakala Datuk Khaled Nordin, yang pernah diperkatakan sebagai bakal menjadi Menteri Besar negeri itu, juga kekal mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Gudang.

Jika semua teka-teki sudah terjawab, apakah akan ada kejutan baru esok? Adakah kita boleh mengharapkan kejutan-kejutan lagi esok?

Sukar untuk memberi jawapan. Tetapi kemungkinan kejutan tidak boleh dielakkan sama sekali. Sejarah pilihan raya negara ini juga pernah membuktikan perkembangan sedemikian.

Misalnya, jika kejutan minit-minit terakhir pernah disaksikan menjelang hari penamaan calon pilihan raya umum lalu, sudah pasti keadaan yang sama akan berulang kali ini.

Ini yang dikatakan percaturan politik dan lumrah dalam pilihan raya.

Dalam pilihan raya umum lalu, perubahan kedudukan Abdul Ghani dan Khaled juga hangat diperkatakan.

Abdul Ghani dikatakan akan kembali ke Persekutuan dan digantikan oleh Khaled. Tetapi ia menjadi kejutan pada sebelah malam menjelang penamaan calon. Kedua-dua mereka telah dikekalkan di kerusi masing-masing.

Berbanding masa-masa lalu, MIC pula melakukan kejutan dengan mengubah calon bagi kerusi DUN Tenggaroh. M. Soorianarayan yang diumumkan tiga hari lalu digantikan dengan Ketua Wanita MIC Johor, T. Murukasvary.

Pulang Pinang juga menyaksikan kejutan. Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Zulkiflee Yahya dicalonkan merebut kerusi DUN Sungai Dua menggantikan calon awal Datuk Jasmin Mohamed, yang digugurkan kira-kira tiga jam selepas beliau diumumkan.

Jasmin merupakan penyandang kerusi tersebut.

Di beberapa kerusi mungkin akan ada perubahan calon sebagai strategi susulan untuk meraih sokongan pengundi dan menenangkan bantahan dan protes sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan pemilihan calon.

Ini soal pemilihan dan perubahan calon mengikut keperluan dan kehendak semasa.
Kejutan juga tidak boleh ditolak sama sekali dalam aspek-aspek lain.

Pada hari penamaan calon tahun 2004, BN memenangi 15 kerusi Parlimen dan lapan kerusi DUN tanpa bertanding berbanding masing-masing satu kerusi Parlimen dan DUN pada pilihan raya umum 1999.

Parti pembangkang Pas memperoleh satu kerusi DUN di Johor ekoran kesilapan dalam proses penamaan di pihak BN.

Kebanyakan kerusi dimenangi adalah di negeri Sabah dan Sarawak.

Pada tahun 1999 jumlah kerusi dimenangi tanpa pertandingan tidak besar, mengambil kira suasana sosiopolitik ketika itu.

Bagaimanapun persekitaran politik adalah lebih kondusif ketika pilihan raya umum lalu. Tentangan dan saingan dihadapi BN tidak begitu sengit.

Meskipun bilangan kerusi yang dimenangi merupakan satu kejutan, ia juga boleh dilihat sebagai tahap sokongan kepada parti pemerintah dalam sesuatu pilihan raya umum.

Rakyat negara ini tidak pernah menyaksikan kejutan besar pada hari penamaan calon sepanjang lima dekad lalu. Melainkan tindakan beberapa parti yang keluar parti induk seperti Perikatan dan Barisan Nasiona (BN) masa-masa lalu.

Justeru mengambil kira suasana semasa sudah pasti kes-kes seperti itu tidak akan wujud buat masa sekarang.

Oleh itu, kejutan akan lebih banyak tertumpu kepada perubahan kerusi sesetengah calon bertanding dan bilangan kerusi yang dimenangi tanpa bertanding serta bilangan calon yang akan diisytiharkan tidak layak bertanding.

Nampak gaya tidak akan ada perubahan besar melibatkan calon-calon ‘gergasi’ kali ini. Masing-masing akan kekal di tempat yang telah pun diumumkan sebelum ini.

Pada hari penamaan calon pilihan raya umum 2004, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima borang pencalonan daripada 449 calon yang bertanding di kerusi Parlimen manakala 1,121 lagi di peringkat DUN.

Jumlah itu lebih besar berbanding 417 calon di kerusi Parlimen dan 813 orang yang bersaing di kawasan DUN ekoran persempadanan semula bahagian pilihan raya pada tahun 2002.
Kejutan sebenarnya menyerikan perjalanan pilihan raya. Kejutan dialu-alukan.



http://www.mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_456f2087-c0a85062-605f7b00-6ccca566

Blog Archive

Labels

About Me

My photo
Kuching, Sarawak, Malaysia