Saturday, February 23, 2008

PENGUNDI KELANTAN TIDAK LAGI DILANDA DILEMA

Mohamad Nasir Yusof
24 Februari, 2008 10:21 AM
http://58.26.44.8/bernama/v3/bm/news.php?id=315928


KOTA BAHARU, 24 Feb (Bernama) -- Bagi kalangan lebih 735,500 pengundi di Kelantan, parti mana yang akan diberi mandat untuk memerintah negeri ini pada Pilihan Raya Umum 8 Mac ini sudah tersemat di hati masing-masing dan sukar berubah lagi, dengan mengambil kira 18 tahun peluang yang telah diberikan kepada PAS untuk memerintah.

Banyak pemerhati politik tempatan berpendapat rakyat Kelantan, yang berjumnlah lebih 1.5 juta orang, sudah mempunyai pilihan yang tidak mereka ragui lagi.

Kehadiran mereka pada ceramah yang diadakan oleh parti yang bertanding, baik PAS (di 11 kerusi Parlimen dan 40 kerusi DUN), Barisan Nasional (14/45) mahupun Parti Keadilan Rakyat (tiga/lima), hanya untuk mendengar dan atas alasan "malu muka" kepada jiran yang mengundang. Tidak lebih daripada itu, dan tidak untuk mengubah fikiran.

"Pengundi di Kelantan tidak berada dalam dilema sekarang, seperti yang difikirkan banyak pihak lain.

Mereka sudah tahu sejauh mana rapuhnya tempat mereka menggantung harapan selama ini dan perlu berubah ke perdu yang lebih kukuh.

"Pilihan mereka bukan saja jelas tetapi hanya satu iaitu BN, kerana mereka mahu maju dan membangun, seperti yang sudah lama dinikmati terus-menerus penduduk di negeri-negeri lain," kata pengamat politik Mohamed Noor Ismail.

Katanya bagi rakyat Kelantan, pilihan mereka jelas kerana setelah sekian lama diperintah PAS, mereka sudah merasai sendiri bagaimana hidup dalam sebuah pentadbiran yang hanya tahu menuding jari ke arah pemerintah pusat bagi setiap kegagalan mereka menunaikan janji kepada rakyat.

Beliau berkata PAS pernah berjanji mendirikan sebanyak mungkin rumah murah untuk rakyat, tetapi setakat ini mereka hanya mampu mendirikan kira-kira 35 unit saja rumah murah setahun dan kemudian menyalahkan pemerintah pusat kerana tidak memberikan mereka wang untuk melaksanakannya.

"Rakyat Kelantan sejak kebelakangan ini jelas membuka mata kerana kadar kemiskinan di negeri ini tinggi iaitu 12.4 peratus berdasarkan statistik 2006 dan puluhan ribu remajanya yang sudah di usia layak bekerja, sampai kini masih tetap menganggur," katanya yang menambah bahawa seperti biasa, PAS hanya menyalahkan kerajaan pusat.

Noor berkata sebagai sebuah kerajaan, PAS tentunya boleh membuat pinjaman mudah untuk melaksanakan projek-projek yang dirancang dan tidaklah perlu menyalahkan kerajaan pusat terus-menerus setiap kali menjadikan tiada wang sebagai alasan.

"Bagi saya, parti itu kelihatan tidak mahu atau tidak tahu bagaimana berdikari bagi mencari wang dan menarik modal asing dalam memastikan pembangunan dapat dijalankan dan potensi Kelantan dapat dimanfaatkan untuk rakyat," kata bekas pensyarah itu.

Seorang lagi penganalisis politik, Muhammad Sulaiman, juga sependapat pengundi di Kelantan memang tidak berada dalam dilema kerana yang sudah biasa mengundi satu parti sejak turun temurun pasti susah untuk berubah ke parti lain kecuali atas beberapa sebab yang kukuh.

Sebab-sebab kukuh itu telah muncul sejak lama.

"Pertama jika harapan mereka tidak tertunai setelah 18 tahun mendukung PAS, kedua jika anak-anak mereka yang tamat persekolahan terus-menerus menganggur kerana tiada peluang pekerjaan, ketiga kerana tiada perancangan pembangunan yang jelas yang boleh mewujudkan prasarana yang lebih baik dan peluang peningkatan ekonomi," katanya.

Beliau berkata ada parti yang sering salah menafsir tahap intelektual rakyat Kelantan sehingga dengan mudah menganggap rakyat Negeri Che Siti Wan Kembang itu boleh diumpan dengan janji-janji syurga dan manipulasi agama, sedangkan baik PAS mahupun Umno, kedua-duanya berasaskan anggota dan penyokong berbangsa Melayu, beragama Islam.

Islam tetap menjadi pegangan hidup terkukuh dan terbesar orang Melayu dan tanpa menyokong mana-mana parti yang kononnya berlabel Islam sekalipun, tahap dan darjat keIslaman mereka tidak terjejas, katanya.

Beliau berkata kempen lama PAS kononnya orang yang bukan mengundi PAS tidak akan masuk syurga sudah basi untuk dimainkan pada abad ke-21 ini, begitu juga dengan orang yang menyokong PAS pasti mendapat kunci ke syurga.

Ini kerana rakyat Kelantan sudah jauh lebih bijak untuk begitu mudah diperbodohkan.

Muhammad berkata faktor tolakan PAS jauh lebih besar, malah tidak ada pun faktor tarikan yang ketara yang boleh menjamin tidak berlakunya angin perubahan dalam trend mengundi rakyat Kelantan kali ini.

Apatah lagi, faktor tarikan, terutama projek-projek ekonomi dan prasarana yang jelas ditawarkan kerajaan BN, begitu menarik minat mereka.

"Tinjauan rambang yang saya buat dalam kalangan sebilangan pelajar pusat pengajian tinggi dari Kelantan, mendapati sebagai pengundi muda, mereka lebih cenderung kepada parti yang jelas landasan dan program kerjanya iaitu BN yang sudah membakar imaginasi mereka untuk melihat Kelantan yang lebih pesat maju dan membangun," katanya.

Kerajaan PAS Kelantan melaungkan untuk membangunkan negeri secara padu dan seimbang kemajuan ekonomi dengan pembangunan rohani rakyatnya serta menjadi negeri yang sejahtera dan dirahmati.

Apa yang dinamakan strategi pembangunannya, kelihatan mulus dan murni apabila ia menetapkan bahawa strategi itu harus sesuai dengan ajaran Islam, termasuk menjadikan rakyatnya sebagai sumber utama dan jentera pembangunan dan meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pembangunan kemudahan dan prasarana awam.

Strategi itu juga menjanjikan peluang-peluang ekonomi yang tidak menyimpang daripada ajaran Islam, memperbaiki kecekapan jentera kerajaan dan mendorong swasta turut serta dalam agenda pembangunannya.

"Namun semua itu hanya di atas kertas, yang dinamakan strategi itu tidak pernah menjadi kenyataan, sama ada yang sesuai dengan ajaran Islam mahupun yang konvensional.

Malah pembangunan yang berlangsung di Kelantan sebetulnya adalah hasil usaha kerajaan pusat yang ditunjangi BN," kata Zamzuri Din, seorang guru.

Beliau berkata tidak ada salahnya dan bukanlah penghinaan terhadap rakyat Kelantan apabila pemimpin pusat memaparkan bahawa selama 18 tahun memerintah, tidak sebuah masjid pun yang mampu didirikan oleh kerajaan PAS dan pembinaan rumah murah untuk ribuan rakyat miskin yang mengaharap, hanyalah setakat 35 unit setahun.

Walaupun pengundi Kelantan mungkin tidak lagi berdepan dengan dilema dalam membuat pilihan, namun Kelantan tetap menjadi medan tempur menarik pada pilihan raya umum ini.

Pertanyaan paling menarik ialah sama ada negeri tunggal yang diperintah oleh kerajaan PAS sejak 18 tahun lepas ini dapat ditawan semula oleh Barisan Nasional.

Paling menarik juga diketahui bahawa dari segi jumlah undi yang dimenangi, BN iaitu 258,382 undi, memang sudah mengatasi PAS (249,925 undi) pada pilihan raya umum tahun 2004 namun kerana bilangan kerusi berpihak kepada PAS, maka PASlah yang membentuk kerajaan negeri.

Berulangkah senario ini pada pilihan raya umum 8 Mac ini-- BERNAMA

Blog Archive

Labels

About Me

My photo
Kuching, Sarawak, Malaysia