Saturday, February 23, 2008

PBS BUAT PINDAAN PADA SAAT-SAAT AKHIR TERHADAP SENARAI ASAL CALON

23-02-2008 04:20:27 PM

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS), parti komponen kedua terbesar dalam Barisan Nasional (BN) Sabah, membuat pindaan pada saat-saat akhir terhadap senarai asal calonnya apabila meletakkan muka baru, Sarapin Mangana untuk bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong, menggantikan penyandang kerusi Jornah Mozihim, pada pilihan raya umum kali ini.

Ketika mengumumkan perkara itu, presidennya Datuk Joseph Pairin Kitingan berkata setelah menimbang semua faktor, termasuk rayuan anggota di peringkat akar umbi, parti itu membuat keputusan meletakkan muka baru untuk bertanding di kawasan berkenaan.

"Kami ada sebab kenapa kami perlu buat perubahan (pada saat akhir) ini, tapi ia perkara biasa dalam politik," katanya kepada pemberita di Sri Gaya, kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman di sini hari ini, Sabtu.

Pada pilihan raya umum 2004, Jornah Mozihim mengalahkan calon Bebas, James Rubinsin Kotulai dengan majoriti 1,274 undi.

Bercakap kepada pemberita, Jornah berkata beliau mendapat tahu tentang perubahan itu daripada Pairin malam tadi, Jumaat.

"Saya bertanggungjawab bagi perubahan di Matunggong kerana saya telah mempersiapkan jentera parti bagi menyokong sesiapa saja yang menjadi calon, tapi mereka kecewa dengan perubahan pada saat-saat akhir itu.

"Saya kecewa dengan pemilihan calon bagi menggantikan saya kerana dia bukan sesiapa dalam parti ini, anggota jawatankuasa pun tidak. Kalau PBS sudah membuat keputusan itu, maka saya akan minta kebenaran untuk berehat daripada berkempen," katanya.

Pada Khamis, Pairin mengumumkan barisan calon PBS yang akan bertanding pada pilihan raya umum 8 Mac ini, dengan hanya membuat dua perubahan terhadap senarai calon yang bertanding pada pilihan raya lepas satu bagi kerusi parlimen dan satu kerusi DUN.

Beliau berkata Timbalan Presiden PBS, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Maximus Ongkili melepaskan kerusi DUN Tandek yang disandangnya kepada Timbalan Ketua PBS Bahagian Kota Marudu Anita Baranting, manakala Menteri Pembangunan Sumber dan IT Datuk Dr Yee Moh Chai memberi laluan kepada peguam, Chin Teck Min untuk bertanding di kawasan Parlimen Kinabalu.

Berikut senarai baru calon PBS:

PARLIMEN:
P168. Kota Marudu : Datuk Dr Maximus Ongkili
P172. Kota Kinabalu: Chin Teck Ming
P180. Keningau: Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan
P185. Batu Sapi : Chong Ket Wah

DEWAN UNDANGAN NEGERI:
N4. Matunggong : Sarapin Magana
N5. Tandek: Anita Baranting
N7. Kadamaian : Herbert Lagadan
N9. Tamparuli : Jahid Jahim
N11. Kiulu: Datuk Lovis Rampas
N13. Inanam: Johnny Goh
N15. Api-Api: Datuk Dr Yee Moh Chai
N17. Tanjong Aru: Yong Oui Fah
N29. Kundasang: Joachim Gunsalam
N32. Tambunan: Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan
N35. Melalap: Datuk Radin Malleh
N40. Labuk : Datuk Michael Asang
N57. Sri Tanjong: Samson Chin Chee Tsu

BERNAMA

Blog Archive

Labels

About Me

My photo
Kuching, Sarawak, Malaysia