Saturday, February 23, 2008

TAHANAN ISA BOLEH BERTANDING PADA PILIHAN RAYA, KATA SPR

KUALA LUMPUR, 23 Februari 2008 Bernama) -- Tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) boleh bertanding pada pilihan raya umum mengikut perundangan, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Datuk Kamaruzaman Mohd Noor.

"Jelas dinyatakan dalam perundangan. Orang ramai perlu tahu bahawa terdapat perbezaan antara tahanan dan dipenjarakan," kata beliau kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, menyatakan bahawa sesiapa yang dihukum penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000 tidak dibenarkan bertanding pada pilihan raya umum.

Kamaruzaman berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai langkah DAP Selangor yang mencalonkan tahanan ISA, M. Manoharan, 46, untuk bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Alam Shah pada pilihan raya umum 8 Mac ini.

Kali terakhir DAP mencalonkan tahanan ISA adalah pada pilihan raya umum 1978 dengan meletakkan Chan Kok Kit dan Chian Heng Kai masing-masing bagi kerusi Parlimen Sungai Besi dan Batu Gajah.

Kedua-duanya memenangi kerusi berkenaan.

Chan menang dengan majoriti 33,687 undi manakala Chian 6,281 undi.

Kamaruzaman berkata tahanan yang dinamakan sebagai calon boleh diwakili oleh pencadang dan penyokongnya atau seorang daripada mereka sekiranya beliau tidak boleh mengemukakan kertas penamaan berkenaan secara peribadi.

DAP Selangor mengumumkan senarai calonnya bagi kerusi Parlimen dan DUN Selangor dan Wilayah Persekutuan hari ini.

Manoharan, yang juga seorang peguam, ditahan pada 13 Dis lepas, kerana didakwa terlibat dalam penganjuran perhimpunan haram di sini pada 25 Nov lepas dan membuat kenyataan menghasut terhadap kerajaan.-- BERNAMA

http://58.26.44.8/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=315858

Blog Archive

Labels

About Me

My photo
Kuching, Sarawak, Malaysia