Saturday, February 23, 2008

HAMPIR SEMUA ANGGOTA KABINET ABDULLAH BERTANDING PILIHAN RAYA

Oleh D.Arul Rajoo
23 Februari, 2008 21:43 PMhttp://58.26.44.8/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=315883


KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang kali kedua mengetuai Barisan Nasional (BN), pada pilihan raya umum 8 Mac ini membawa hampir kesemua anggota Jemaah Menteri bertanding, kecuali tiga orang yang mengundurkan diri secara sukarela.

Daripada sejumlah 31 anggota Kabinet yang ada sekarang, Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi Datuk Seri Lim Keng Yaik, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy tidak akan bertanding.

Lim, 68, yang juga bekas Presiden Gerakan pertama kali bertanding pilihan raya pada 1969 dan menjadi anggota Kabinet pada 1972, tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Beruas yang dipegangnya sejak 1986.

Chan, Timbalan Presiden MCA dan penyandang kerusi Parlimen Selayang, mengejutkan negara dua hari lepas apabila mengumumkan persaraannya daripada dunia politik atas alasan kesihatan.

Mohd Effendi yang tidak bertanding pada pilihan raya umum 2004 tetapi dilantik menjadi Senator dua tahun kemudian untuk membolehkannya memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri semasa rombakan kecil Kabinet.

Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, yang merupakan senator dua penggal, akan bertanding pilihan raya buat kali pertama bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor di Pulau Pinang, dan Menteri Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah yang juga calon BN di kawasan Parlimen Shah Alam Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin, 70, menjadi calon Umno paling tua yang akan bertanding.

Abdullah, yang mengetuai BN pada pilihan raya umum 2004 dan mendapat kemenangan besar majoriti dua pertiga, akan mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas yang pertama kali dimenanginya pada 1978.

Timbalannya dan juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Tun Razak terus kekal bertanding bagi kerusi Parlimen Pekan di Pahang bagi penggal kesembilan.Selepas persaingan sengit antara calon-calon berpotensi di negeri kecil Perlis, Setiausaha Agung Umno dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Azmi Khalid telah disahkan bertanding masing-masing di Kangar dan Padang Besar.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting, yang juga Presiden MCA, akan berpindah kerusi dari Parlimen Tanjung Piai ke Kulai manakala rakan sejawatannya daripada MIC dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu kekal di Sungai Siput, yang ditandinginya kali pertama pada 1974.

Menteri lain daripada MCA, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn akan bertanding Parlimen Alor Gajah di Melaka. Bekas naib presiden parti dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Chua Soi Lek, yang meletak jawatan daripada Kabinet bulan lepas ekoran video aksi seksnya akan digantikan oleh anaknya, Chua Tee Yong di kawasan Parlimen Labis.Di sebalik spekulasi awal yang menyebut-nyebut bahawa beliau akan menjadi Menteri Besar Johor yang baru, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin terus kekal di peringkat pusat untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Gudang.

Empat lagi anggota Kabinet daripada Umno akan mempertahankan kerusi masing-masing adalah Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Jaafar Albar (Kota Tinggi); Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang); Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh) dan Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Sembrong).

Dua anggota Kabinet berpindah kawasan iaitu Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin akan berpindah dari Parlimen Merbok ke Sungai Petani, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Dompok dari Ranau ke Penampang manakala satu-satunya wakil Sarawak, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Peter Chin akan bertanding lagi di Miri.

Menteri-menteri lain yang akan bertanding semula adalah Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Padang Rengas), Datuk Seri Rafidah Aziz (Kuala Kangsar), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya), Datuk Seri Zulhasnan Rafique (Setiawangsa), Datuk Dr Abdullah Md Zin (Besut), Datuk Mustapa Mohamed (Jeli), Datuk Seri Dr Rais Yatim (Jelebu), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Lembah Pantai), Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis (Rompin), Datuk Dr Maximus Ongkili (Kota Marudu) dan Datuk Mohd Shafie Apdal (Semporna).

-- BERNAMA

Blog Archive

Labels

About Me

My photo
Kuching, Sarawak, Malaysia