Saturday, February 23, 2008

KEPIMPINAN BERWIBAWA

Oleh Ahmad Zahid Hamidi
23 Februari, 2008 10:20 AM
http://58.26.44.8/bernama/v3/bm/news.php?id=315739


KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- 30 Oktober 2003 adalah tarikh keramat bagi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) kerana mulai tarikh itu, beliau diberi mandat sebagai Perdana Menteri kelima menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kesinambungan peralihan kepimpinan secara terancang berjalan dengan baik.

Beginilah tradisi pertukaran kepimpinan yang tidak banyak terdapat di negara-negara membangun yang lain.

Sepanjang 22 tahun pentadbiran Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, pelbagai kejayaan diraih, sekali gus meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai sebuah negara membangun yang cukup berjaya.

Malaysia dikagumi sebagai sebuah negara Islam yang cukup progresif dan kejayaan dalam pelbagai bidang menjadikannya cukup tersohor.

Pak Lah mengambil alih kepimpinan dengan penuh keyakinan untuk memberikan kesinambungan kecemerlangan terhadap kejayaan yang telah diasaskan oleh kesemua kepimpinan terdahulu.

Dengan dibantu Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri, gandingan mantap ini telah membentuk kombinasi yang cukup serasi.

BERILTIZAM TINGKATKAN KEJAYAAN

Pak Lah beriltizam untuk mempertingkatkan kejayaan melalui pendekatan baru dari segi pentadbiran dengan program-program yang pelbagai, kesemuanya digarap demi mencapai matlamat menyejahterakan rakyat.

Beliau meneruskan usaha sebagai pengerusi Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dengan beberapa program yang bersifat global bagi kepentingan sejagat.

Antara program yang disarankan termasuk perkongsian kepakaran dan membantu negara-negara Islam yang terpinggir dan kurang membangun dengan didokong pembangunan dan kemajuannya oleh negara-negara Islam yang lebih maju.Malaysia terus dihormati dan disegani oleh negara-negara anggota pertubuhan berkenaan.

Kewibawaan Pak Lah terserlah dengan penerimaan dan kekaguman para pemimpin negara OIC dan NAM terhadap beliau dalam usaha memberi kesinambungan kemajuan Malaysia.

Pak Lah juga telah mengamalkan pendekatan bekerja secara kolektif dengan menyarankan jalinan dan semangat bekerja melalui cetusan slogan "Bekerja bersama-sama saya dan bukan untuk saya".

Maksudnya, beliau meminta rakan-rakannya dalam Jemaah Menteri, kepimpinan parti malah para pegawai kerajaan untuk mengamalkan budaya kerja berpasukan dan bekerja bersama-sama beliau dengan penuh keikhlasan, kejujuran dan dedikasi.

SEMAI SEMANGAT KEKITAAN, KESETIAKAWANAN

Langkah Pak Lah menyeru semangat kekitaan dan kesetiakawanan di kalangan kepimpinan di semua peringkat supaya diterjemahkan pelaksanaannya dengan rasa penuh pertanggungjawaban telah mendapat sokongan semua pihak.

Beliau dianugerahi banyak keistimewaan peribadi, antaranya bersikap sedia mendengar, mudah didampingi, tidak gopoh dalam membuat sebarang keputusan, kuat beribadat dan terpancar cahaya keimanan di wajahnya yang sentiasa terukir senyuman.

Ini membuktikan Pak Lah mempunyai kelebihan peribadi yang tersendiri, selain mendasari gaya kepimpinan dengan pendekatan yang terbuka.

Pendekatan ini sekali gus memudahkan beliau memperoleh maklum balas dari pelbagai sumber termasuk dari peringkat akar umbi.

Kerap kali Pak Lah mengetepikan protokol dan meminimumkan aspek keselamatan yang telah ditetapkan sebagai seorang Perdana Menteri, dengan ini memudahkan rakan-rakan lama dan rakyat menemuinya, sama ada memberikan maklum balas atau mengajukan permohonan untuk mendapat pertolongan.

Pendekatan dan sikap mementingkan penyertaan semua pihak dalam membuat keputusan telah menyerlahkan lagi kewibawaan kepimpinan Pak Lah.

Kesediaan beliau mendengar pandangan dan kritikan yang melibatkan sesuatu isu membuktikan kerajaan di bawah kepimpinan beliau lebih bersikap terbuka dan telus.

Biarpun penulis media alternatif, seperti yang terdapat dalam laman web, blog mahupun u-tube atau sebarang medium media alternatif parti pembangkang telah melakarkan pelbagai tulisan yang kerap kali bersifat terlalu peribadi dan melampaui nilai-nilai Islam dan ketimuran, namun beliau langsung tidak bertindak balas secara perundangan.

KESABARAN DAN KETERBUKAAN

Jelas Pak Lah hadapinya penuh tabah dan sabar.

Dan kesabaran yang membalut dirinya menjadi panduan dan prinsip hidupnya malah beliau sering memberitahu rakan-rakan supaya mempertingkatkan daya kesabaran.

Di antara prinsip beliau sesuai dengan pendekatan tasawuf ialah; "assabru jamil" (kesabaran adalah suatu keindahan).

Tahap kesabaran beliau amat luar biasa dan jiwa pemaaf beliau juga amat dikagumi oleh rakan-rakan dan lawan politik beliau.

Kepimpinan Pak Lah yang berpaksikan rundingan dan kepimpinan berpasukan ini, menampilkan sikap kurang authoritarian kerajaan.

Malah pendekatan secara bermusyawarah ini telah dapat mengundang maklum balas yang berterusan dari segenap lapisan hierarki, sama ada dari akar umbi atau dari peringkat paling bawah.

Sikap keterbukaan ini melahirkan kesan positif biarpun ada pihak yang menyifatkannya suatu kelemahan, namun di situlah terletaknya kekuatan dan kelebihan peribadi Pak Lah.

Keterbukaan bukan bermakna sesiapa sahaja bebas mengaibkan kerajaan, mencela dan mencemuh kepimpinan negara atau menggugat keselamatan negara dengan menyentuh isu-isu sensitif seperti perkauman, hak raja-raja, kedudukan agama Islam dan hak keindukan bangsa Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Hal inilah yang disalahtafsirkan oleh orang-orang yang menganggap sebagai kelemahan. Orang-orang ini tentu sekali salah perhitungan.

KEWIBAWAAN TERSERLAH SEJAK DAHULU

Kewibawaan Pak Lah terserlah sejak beliau berada di peringkat persekolahan, sewaktu di universiti, sebagai pegawai kerajaan dan tatkala mula-mula menceburkan diri dalam arena politik.

Beliau pernah melibatkan diri sebagai pemimpin persatuan pelajar, organisasi belia dan di kementerian belia sendiri.

Pak Lah pernah berada dalam Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak Hussein selepas insiden berdarah 13 Mei 1969.Malah Tun Razak pernah menjadi idola dan mentornya.

Banyak idea dan perancangan dalam era Tun Razak kembali diberi nafas baru oleh Pak Lah. FELDA umpamanya yang diwujudkan ketika Tun Razak menjadi Timbalan Perdana Menteri telah diserahkan kepercayaan pengendaliannya kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pemimpin datang dan pergi. Pemimpin juga silih berganti. Namun, pemimpin utama negara tetap memberikan kesinambungan agenda negara.

Kelangsungan hidup rakyat terus disejahterakan.Misi kepimpinan negara tetap beriltizam untuk terus menerjah kegemilangan bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang terbilang.

Penulis adalah Timbalan Menteri Penerangan Malaysia.-- BERNAMA

Blog Archive

Labels

About Me

My photo
Kuching, Sarawak, Malaysia