Saturday, February 23, 2008

GOLONGAN MUDA – KUASA YANG PERLU DIPERHATI

Oleh Voon Miaw Ping
24 Februari, 2008 10:29 AM


KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Pilihan raya kali ini menjanjikan sesuatu yang lebih menarik berikutan pembabitan golongan muda dalam apa yang dianggap ramai sebagai hasrat untuk mengubah personaliti politik.

Menerusi tokoh seperti Khairy Jamaluddin, Victor Gu, dan Carol Chew daripada BN dan Tony Pua, Teo Nie Ching, Nurul Izzah Anwar dan Badrul Hisham Shaharin, yang mewakili parti pembangkang, mereka merupakan pertaruhan parti politik masing-masing.

Tambahan pula, golongan muda generasi pasca Merdeka ini mempunyai pakej lengkap.

Mereka dilihat sebagai tokoh inovatif, petah berkata-kata, cerdik Internet, ghairah, serta memiliki ijazah serta status sosioekonomi yang tinggi selain latar belakang politik mereka.

Menurut Merdeka Centre, sebuah frima penyelidikan pendapat, kemunculan golongan muda ini perlu diberi perhatian pada pilihan raya 8 Mac ini kerana mereka mungkin memegang kuasa pada masa depan.

Pengarah firma itu, Ibrahim Suffian, memberitahu Bernama pencalonan golongan muda ini merupakan strategi penting oleh pemimpin politik bagi menarik pengundi generasi muda yang berpandangan lebih mendesak dan kritikal."Kebanyakan mereka dilahirkan selepas 1957.

Mereka mewakili generasi baru rakyat Malaysia, yang bermakna penguni generasi muda dapat berinteraksi lebih baik dengan mereka," katanya.

Kebanyakan calon yang berusia kurang daripada 40 tahun ini juga menarik kepada generasi lama berdasarkan perubahan segar dalam idea politik yang sebelum ini didominasi generasi lebih tua.

Ibrahim berkata kemunculan calon generasi muda membuktikan parti-parti politik menyedari mengenai perlunya menyuntik darah muda dan mencergaskan semula parti selari dengan perkembangan semasa di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Dalam pada itu, calon muda juga dijangka memberi cabaran dan tekanan kepada lawan yang lebih tua seperti calon Demokrat, Barack Obama, 46, yang merupakan calon paling muda di peringkat nasional, memberi cabaran besar kepada bekas wanita pertama Hillary Clinton.

Ibrahim berkata keupayaan dan kapasiti golongan muda ini tidak wajar dipandang ringan oleh veteran walaupun mereka diangap novis dalam politik.

Golongan veteran wajar mengambil iktibar daripada pilihan raya negeri Sarawak 2006 apabila Violet Yong, 29, daripada DAP menewaskan setiausaha agung Parti Penduduk Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Sim Kheng Hui di kawasan Pending yang merupakan kekalahan teruk dengan 4,372 undi majoriti.

Ibrahim berkata walaupun pengundi menganggap calon-calon muda sebagai ideal dan segar, beberapa calon veteran dan wakil rakyat dianggap sudah terlalu lama di tempat itu.

"Rakyat mahu idea baru dan segar dan golongan muda ini mewakili idea yang mereka mahukan.

"Mereka mahu melihat apa yang boleh ditawarkan oleh calon-calon muda ini dalam meningkatkan kehidupan mereka," katanya.

Sementara itu Pengarah Eksekutif Yayasan Strategik Sosial Datuk Dr Denison Jayasooria, berkata kehadiran lebih ramai golongan muda pada pilihan raya kali ini menunjukkan kesediaan parti politik membuka ruang kepada pemimpin muda mengambil alih pada masa depan.

Beliau berkata senario itu ternyata berlaku dalam BN dengan veteran politik sedia bersara bagi memberi ruang kepada generasi muda.

"Sekaraang tempoh peralihan. Pemimpin muda dan berbakat ini dipersiapkan untuk mengambil alih kepimpinan masa depan dan terus memacu negara mercapai status negara maju pada 2020," katanya.

Beliau berkata pengundi juga meletakkan harapan tinggi ke atas calon-calon ini bagi memperbaiki landskap politik negara dalam tepoh antara lima dan 10 tahun akan datang, jika dipilih.

"Malah, pengundi generasi lebih tua menyedari perubahan perlu dan berharap negara dapat menyaksikan perubahan positif yang akan dibawa oleh golongan muda pembuat dasar ini.

"Diharapkan mereka dapat mengadakan lebih banyak perbincangan intelektual mengenai isu-isu yang menjejaskan rakyat Malaysia," katanya.

-- BERNAMA

Blog Archive

Labels

About Me

My photo
Kuching, Sarawak, Malaysia